Pilihan raya Parti_Sosialis_Malaysia

Disebabkan parti ini tidak dapat didaftarkan, oleh itu calon-calon yang dihantar terpaksa bertanding dengan tiket parti lain. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999, mereka menggunakan tiket Parti Tindakan Demokratik (DAP). Tetapi menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, DAP enggan membantu PSM dengan tuduhan "tidak pernah bertegur sapa", oleh itu calon-calon PSM beralih mendapat bantuan daripada Parti Keadilan Nasional (KeADILan).

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggantikan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) terus membenarkan calon-calon PSM bertanding dengan tiket PKR. Namun terdapat seorang calon PSM yang bertanding sebagai seorang calon bebas menggunakan lambang kunci, iaitu calon untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Jelapang di negeri Perak. Di kawasan ini sudah terdapat seorang calon parti pembangkang, iaitu Hee Yit Foong dari DAP. S. Arutchelvan juga bertanding bagi DUN Semenyih di Selangor. Akhirnya, PSM mempunyai dua orang calon yang menang di bawah tiket PKR, iaitu Michael Jeyakumar dari kawasan Parlimen Sungai Siput negeri Perak, dan Pengerusi parti Dr. Mohd Nasir Hashim dari kawasan DUN Kota Damansara negeri Selangor.[1]